JIKA melihat kepada senario semasa, kelihatan seakan politik negara berada di ambang bahaya.
Parti pembangkang dan pihak-pihak yang mendakwa non-partisan begitu agresif melakukan serangan demi serangan terhadap kerajaan khususnya di media-media sosial.
Sementara siri demonstrasi sudah jelas mula diatur ‘pihak tertentu’ termasuk melibatkan kelompok pelajar universiti di kampus serta di lokasi tumpuan ramai, malah seruan-seruan semakin kuat disebar supaya rakyat menyertai perhimpunan mega akhir bulan ini.
Biar atas apa pun nama dan alasan perhimpunan tersebut mahu dilaksanakan, pastinya matlamat atau tujuan adalah satu, iaitu menjatuhkan kerajaan yang memerintah hari ini.
Keadaan itu menggambarkan bahawa parti pembangkang mahu menjadikan gerakan jalanan sebagai isyarat kepada kerajaan memerintah bahawa ‘rakyat’ sudah menolak kepimpinan yang ada.
Sedangkan sepatutnya semua pihak menghormati keabsahan Kerajaan Perpaduan hari ini yang terbentuk daripada persefahaman antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.
Strategi menurunkan sebuah kerajaan melalui gerakan jalanan pada pandangan penulis sangat tidak wajar kerana kesannya bukan sahaja kepada kerajaan memerintah tetapi juga menimbulkan kesan-kesan negatif kepada politik, sosial dan ekonomi yang akhirnya bahana berbalik kepada rakyat.
Seperti yang kita ketahui, keadaan ekonomi semasa negara masih tidak menentu, pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat mengucar-ngacirkan ekonomi dunia. Malah sebelum itu, konflik geopolitik dan ketegangan antarabangsa menyebabkan negara kita terkesan sekali.
Perang Russia-Ukraine masih belum reda, perang Iran-Israel belum pasti berakhir, hubungan China-Taiwan masih panas, manakala perubahan iklim ekstrem dan bencana alam terus menjadi cabaran kepada kestabilan bekalan makanan.
Di dalam negara pula, kerajaan terpaksa berdepan dengan kesukaran untuk menyeimbangkan kos sara hidup rakyat khususnya dalam keadaan pendapatan tidak banyak berubah sedangkan harga barang dan perkhidmatan semakin meningkat.
Begitu juga dengan cabaran untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan supaya kadar pengangguran dapat dikurangkan yang berkait secara langsung dengan keperluan menarik seberapa banyak pelaburan dari luar.
Jika kerajaan terpaksa berdepan dengan ketidaktentuan akibat gerakan jalanan yang berpotensi menjejaskan kestabilan politik dan menjauhkan pelabur asing, maka akhirnya siapa yang rugi?
Elok rasanya, jika gerakan jalanan itu ditukar kepada gerakan mega mencari solusi membantu rakyat menambah pendapatan, meningkatkan kualiti graduan, menambah sumber bekalan makanan negara dan melahirkan lebih ramai usahawan.
Cukup-cukuplah memperguna rakyat untuk membolot kuasa, apabila beroleh kuasa rakyat ditinggal begitu sahaja. Malah, jika kerajaan hari ini jatuh, apakah nasib rakyat akan terbela. Siapa nak beri jaminan?














