MELAKA – Seorang lelaki direman selepas dipercayai memukul kepala dan muka adiknya sehingga patah beberapa batang gigi kerana berang mangsa terlupa mengambil air minuman semalam.
Perintah reman selama sehari itu dibenarkan Majistret N. Sivashangari terhadap suspek berusia 38 tahun bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Menurut sumber, kejadian berlaku pada pukul 1.30 pagi selepas suspek meminta mangsa yang berusia 36 tahun mengambil minuman yang dibelinya di mesin air.
“Ketika kejadian mangsa yang sedang tidur di rumah di Bukit Katil dikejutkan oleh suspek.
“Mangsa bagaimanapun terlupa menyebabkan suspek berang lalu mengambil kayu hoki dan memukul kepala serta muka adiknya hingga mengakibatkan tiga batang gigi patah,” katanya.
Menurut beliau, bapa mangsa yang berada di lokasi turut ditolak dan dipukul ketika cuba menghalang pergaduhan tersebut.
“Mangsa kemudian lari menyelamatkan diri apabila suspek mengugut untuk menikamnya.
“Sebelum ini kejadian sama pernah berlaku tetapi tidak dilaporkan kerana mangsa memikirkan hubungan kekeluargaan, namun semalam dia tampil membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan sikap suspek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE