MANCHESTER – Pemain sayap Manchester United, Alejandro Garnacho menolak peluang bergandingan bersama idolanya, Cristiano Ronaldo biarpun dilapor menerima tawaran daripada Al-Nassr.
Pemain berusia 21 tahun itu kini sedang mencari kelab baharu selepas diketepikan daripada senarai jelajah pramusim ke Amerika Syarikat oleh pengurus Manchester United, Ruben Amorim.
Menurut laporan, Garnacho, enggan berpindah ke Timur Tengah dan lebih cenderung untuk kekal beraksi di Eropah, walaupun menerima tawaran lumayan daripada Al-Nassr ketika beberapa kelab elit Eropah seperti Chelsea dan Napoli menyatakan minat.
Chelsea dilapor sedang mempertimbangkan pertukaran membabitkan Christopher Nkunku, manakala Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis percaya potensi Garnacho masih belum direalisasikan di Old Trafford.
“Kami mahukannya kerana dia berada di Manchester United. Keluarkan dia dari kelab itu, dan dia akan menjadi pemain yang dua kali lebih hebat. Terdapat kepincangan di United yang tidak dapat saya jelaskan,” kata De Laurentiis.
United kini meletakkan tanda harga sekitar £70 juta (RM408.70 juta) untuk pemain itu, namun angka itu dijangka sukar direalisasikan memandangkan dia kini tidak lagi menjadi keutamaan dalam perancangan kelab.
Berbanding beberapa pemain lain seperti Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Antony, gaji Garnacho yang lebih rendah menjadikannya lebih mudah untuk dijual atau dipinjamkan. – AGENSI