PEMAIN tempatan disaran menerima sahaja tawaran yang ada pada jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) kali ini dan tidak meminta lebih kerana pasaran bola sepak sekarang tidak seperti beberapa tahun lepas.
Pandangan tersebut disuarakan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Sulaiman Hussin yang menyifatkan hampir semua pasukan Liga M ketika ini tidak melakukan sebarang rundingan sebaliknya membuat tawaran ‘take it or leave it’ (terima atau cari yang lain).
“Pasaran bola sepak kita tak seperti dulu kerana sekarang tinggal 13 kelab saja. Salah satu faktor (pasaran makin mengecil) adalah isu kewangan dan kebanyakan pasukan menghadapi masalah ini.
“Justeru, pemain ketika ini tiada kuasa untuk demand (meminta) lebih dan mereka mungkin dapat tawaran yang lebih rendah berbanding dengan pasukan sebelum ini. Apa lebih penting sekarang masa untuk survive (teruskan hidup),” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Sulaiman yang ketika ini menjadi Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengakui pemain yang masih belum ada kelab lebih baik mencari pasukan yang beraksi di Liga Super.
“Kalau ada pasukan Liga Super yang mungkin menawarkan gaji lebih murah daripada gaji lama, saya rasa baik mereka terima berbanding menyertai kelab Liga A1 Semi Pro.
“Jika mereka tiada tawaran langsung, mereka boleh cuba di Liga A1, tetapi saya rasa gaji di sana mungkin lebih kecil kerana lambakan pemain sekarang sudah berlaku,” katanya.
Sebagai rekod, ramai pemain difahamkan masih belum ada kelab selepas dua pasukan, Sri Pahang dan Perak FC tidak bersaing musim depan selain tiada lagi saingan Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang sebelum ini menjadi medan buat pemain muda menyinar.