fbpx

‘Lepas 29 tahun, baru tahu nikah tak sah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila pernikahannya bersama suami rupa-rupanya tidak sah dan bertambah malang apabila perkara itu hanya diketahui selepas 29 tahun.

Kisah itu diceritakan oleh peguam syarie, Fahmi Ramli yang mana beliau mengikut pendengaran kes tersebut dijalankan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh, Perak baru-baru ini.

“Selepas 29 tahun nikah, baru tahu nikah tidak sah. Tanpa peguam pula tu. Setelah disoal panjang oleh Yang Arif Hakim, rupanya mak cik ini dulu pada tahun 1996 bernikah secara wali hakim nikah sindiket. Ini kerana ayahnya (wali sebenar) berada di luar Perak.

“Mahkamah terus ‘shortcut’ dan tunjukkan satu kertas yang merupakan salinan fatwa daripada Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak pada 10 Jun 1997. Fatwa tersebut ringkasnya memutuskan bahawa pernikahan yang telah dinikahkan secara wali hakim oleh bekas Naib Qadhi Gopeng bernama Mohd. Jamil Bin Kechil selepas tarikh 22 Julai 1989 adalah tidak sah.

“Hal ini kerana telah dilarang oleh qadhi yang ketika itu bertindak sebagai wakil sultan. Terkejut saya, siap ada Fatwa lagi. Dan Fatwa ini telah digazetkan dalam Negeri Perak sejak 1997 lagi,” katanya pada hantaran Facebook.

Fahmi berkata, wanita itu kemudian terkejut apabila mahkamah menyatakan perkahwinannya tidak sah.

“Sudahlah telah berkahwin sejak sekian lama. Nak nikah semula pun, suami telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau turut berkongsi penerangan berhubung status seseorang isteri sekiranya nikah tersebut tidak diketahui pasangan tentang sah atau sebaliknya.

“Perkahwinan ini dinamakan sebagai nikah fasid iaitu perkahwinan yang syarat sah nikah tersebut rosak. Ini kerana, seorang wanita yang hendak mendapatkan wali hakim, ia mesti datang daripada perintah mahkamah untuk pelantikan wali hakim sebenar.

“Maka, jika mereka tidak tahu akan perkara ini, pasangan tersebut boleh bernikah semula mengikut undang-undang dan hukum syarak yang sebenar,” ujarnya.

Fahmi berkata, status anak-anak yang lahir daripada pernikahan fasid ini ialah anak wati’ syubhah iaitu anak lahir daripada persetubuhan meragukan dan ia berbeza dengan anak tak sah taraf.

“Namun, jika dari awal pihak-pihak ini telah tahu pernikahan tersebut memang tidak sah, tetapi memejamkan mata sahaja, anak tersebut tetap dianggap anak tak sah taraf.

“Anak wati syubhah boleh dinasabkan kepada bapanya dan berhak untuk menerima perwalian bagi pernikahan serta hak perwarisan untuk mewarisi pusaka si bapanya.

“Bagaimanapun, mereka mesti mendapatkan satu perintah pengesahan nasab daripada mahkamah untuk mengesahkan status ini bagi menghilangkan keraguan dan berhak untuk mewarisi pusaka si mati sebagai waris yang sah,” katanya.

Katanya, pernikahan anak-anak wati’ syubhah yang mana bapanya dinikahkan oleh bapa kandung adalah sah di sisi mazhab syafie dan itu tidak menjadi salah kerana hak perwalian mereka ada.

“Jadi, tak perlu untuk membuat permohonan faraq nikah untuk bernikah semula dengan pasangan. Berbeza dengan anak tak sah taraf dinikahkan oleh bapa biologi, tapi bapanya tidak ada hak perwalian kerana anak tak sah taraf hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI