fbpx

Hospital utama Johor tak cukup staf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HOSPITAL Sultanah Aminah antara salah sebuah hospital utama di Johor Bahru berdepan krisis kekurangan petugas kesihatan.

JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius dan kritikal.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kekurangan tenaga kerja kesihatan di hospital-hospital utama melibatkan pelbagai kategori kritikal termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain.

Menurutnya, tekanan kerja yang semakin tinggi ini bukan sahaja menjejaskan moral petugas, malah turut memberi kesan kepada kualiti rawatan diterima pesakit.

“Sebagai contoh di beberapa wad, seorang jururawat terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.

“Keadaan ini bukan sahaja tidak adil buat petugas, tetapi juga tidak selamat untuk pesakit jika dibiarkan berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Onn Hafiz menegaskan, kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan akan terus menyalurkan sokongan dari segi fasiliti serta keperluan kesihatan yang mendesak, selain membawa isu berkenaan ke perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta jabatan berkaitan.

Katanya, beliau akan merayu agar pengisian jawatan kesihatan di Johor dapat disegerakan tanpa kompromi.

“Semoga petugas kesihatan di Johor terus dikurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan dalam menjalankan amanah. Terima kasih atas segala usaha dan kerja keras yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan terus komited dalam memperjuangkan sistem kesihatan yang cekap, saksama dan mampan demi kepentingan seluruh negeri dan Bangsa Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI