fbpx
TEMA ‘Atasi Pencemaran Plastik’ telah dipilih untuk sambutan itu bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap ancaman plastik dan mikroplastik.

K2

Sambutan hari alam sekitar, pupuk kesedaran pencemaran plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USAHA melestarikan alam sekitar perlu sentiasa dipergiatkan dan disebar luas oleh pelbagai pihak bagi memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Hal ini penting kerana isu berkaitan pencemaran alam sekitar sentiasa diperkatakan baik di dalam mahupun di luar negara kerana ia bukanlah isu baharu yang bakal memberi kesan buruk kepada kehidupan secara keseluruhan jika tidak ditangani dengan segera.

Di Malaysia sendiri, negara ini juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan isu pencemaran yang sangat membimbangkan dan memerlukan perhatian semua pihak untuk sama-sama menjaga dan melindungi alam sekitar demi menjamin kehidupan yang lebih baik baik untuk masa kini dan masa hadapan.

Sehubungan itu, setiap lapisan masyarakat perlu didedahkan dengan kesedaran untuk melestarikan alam sekitar bagi membolehkan generasi masa hadapan dapat menikmati anugerah tuhan yang tidak ternilai ini.

Untuk itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menunjukkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dengan mengambil inisiatif menganjurkan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) 2025 baru-baru ini di UPM, Serdang, Selangor.

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada tanggal 5 Jun setiap tahun dan UPM tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama meraikan sambutan tersebut.

Pengarah program ChM. Dr. Muhammad Raznisyafiq berkata, program tersebut merupakan anjuran Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar dengan kerjasama Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap isu-isu alam sekitar yang semakin mendesak.

Menurutnya, tema ‘Atasi Pencemaran Plastik’ telah dipilih untuk sambutan itu bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap ancaman plastik dan mikroplastik.

Tema sambutan pada tahun ini selaras dengan tema yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tahun 2025.

“Isu pencemaran plastik semakin meruncing dan mencetuskan kebimbangan global.

“Statistik terkini menunjukkan bahawa lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun dan hampir separuh daripadanya berakhir di tapak pelupusan, sungai serta lautan,” katanya.

Tambahnya, lebih membimbangkan kajian terbaharu turut mengesan mikroplastik dalam air minuman, udara dan dalam tubuh manusia.

Penemuan ini menandakan keperluan mendesak untuk masyarakat dunia termasuk Malaysia mengambil tindakan bersama dalam menangani pencemaran plastik yang semakin mengancam kesihatan dan ekosistem.

Program ini menyaksikan penglibatan pelbagai rakan kolaborasi termasuklah Jabatan Alam Sekitar Malaysia, WWF Malaysia, Perkin Elmer Sdn. Bhd., ALS Technichem (M) Sdn. Bhd., Novatiq Scientific Sdn. Bhd., Majlis Perbandaran Sepang, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Green Resource Recovery Sdn. Bhd., KDEB Waste Management Sdn. Bhd., Synergy ESCO (M) Sdn. Bhd., Zero Waste Earth Store, Pusat Latihan Kraftangan Epal Bangi dan Farm Fresh Milk Sdn. Bhd.

TURUT berlangsung forum yang menampilkan wakil dari NGO, industri dan kerajaan, yang membincangkan cabaran, peluang serta inovasi dalam menangani pencemaran plastik dari pelbagai sudut.

Rakan kolaborasi mengambil inisiatif dengan mengadakan pameran interaktif dan peserta dapat memahami dengan lebih dekat pelbagai usaha serta teknologi yang digerakkan untuk mengurangkan pencemaran plastik.

Mengulas lanjut, Raznisyafiq berkata, salah satu acara utama ialah forum yang menampilkan wakil dari badan bukan kerajaan (NGO), industri dan kerajaan, yang membincangkan cabaran, peluang serta inovasi dalam menangani pencemaran plastik dari pelbagai sudut.

“Selain pameran dan ceramah kesedaran alam sekitar, program ini turut diserikan dengan pertandingan dalam talin seperti penghasilan poster dan video alam sekitar dengan bertemakan ‘Atasi

Pencemaran Plastik’ yang terbuka kepada pelajar dan masyarakat umum.

“Pertandingan ini bertujuan menggalakkan ekspresi kreatif dalam menyampaikan mesej alam sekitar.

“Selain itu, turut diadakan pertandingan RePlastic Nation dengan bertemakan inovasi kitar semula plastik yang disertai oleh setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UPM,” katanya.

Ujar beliau, setiap PTJ diminta menghasilkan arca daripada bahan plastik terbuang seperti botol dan bekas makanan.

Pertandingan tersebut dijuarai oleh PSPK dengan menghasilkan arca penyu belimbing yang menyuarakan isu pencemaran laut.

Terangnya, hasil seni itu menjadi medium simbolik dalam menyampaikan mesej kesedaran serta memupuk budaya lestari dalam kalangan warga kampus.

“Program ini bukan sahaja menjadi platform pendidikan dan kesedaran, malah mencerminkan peranan institusi pengajian tinggi seperti UPM dalam memacu perubahan ke arah masa depan yang lebih lestari.

“Malah, penganjuran program seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif hijau di peringkat institusi dan nasional serta membentuk generasi yang lebih peka terhadap kelangsungan alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN