PETALING JAYA -“Tengok budak kecil sekarang, ada yang tiada leher…kepala terus bercantum dengan badan.”
Demikian komen seorang pengguna Facebook dalam menggambarkan keadaan fizikal kanak-kanak masa kini yang berbadan besar dan montel.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, anggapan bahawa ‘anak montel itu anak sihat’ sebenarnya adalah satu mitos berbahaya.
“Anak montel bukan tanda sihat. Kajian tunjuk lapan daripada 10 kanak-kanak obes akan kekal obes bila dewasa. Risiko penyakit metabolik pun meningkat.
“Cegah dari awal. Bentuk gaya hidup sihat sejak kecil, itulah hadiah terbaik untuk masa depan anak,” tegas PHM.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, sebanyak 16.2 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 19 tahun memiliki berat badan berlebihan, manakala 14.3 peratus mengalami obesiti.
Semakan Kosmo! pada laman sesawang Majlis Keselamatan Negara, obesiti pada kanak-kanak boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan.
“Ia termasuk kanak-kanak yang obes lebih berisiko mengalami penyakit seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi dan masalah jantung pada usia muda,” jelasnya.
Selain itu, kanak-kanak tersebut berisiko mengalami masalah keyakinan diri, kemurungan dan gangguan emosi lain serta mungkin menghadapi diskriminasi dan buli, yang boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosial mereka. – KOSMO! ONLINE