fbpx

KPM pastikan kelangsungan pendidikan Putri Qisya, masuk MRSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina menyantuni Putri Qisya di SK Seberang Perak Baru di Alor Setar hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan komitmen untuk memastikan kelangsungan pendidikan dan kebajikan Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, bagi menyempurnakan hasratnya ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tahun depan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Putri Qisya menunjukkan semangat luar biasa walaupun berdepan ujian besar dalam hidup.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan memastikan segala bentuk sokongan termasuk psikososial dan akademik diberikan kepada murid berkenaan.

“Kementerian Pendidikan mengambil tanggungjawab penuh, khususnya selagi dia masih berada di bawah jagaan kita. Dia kini di tahun enam dan menyatakan hasratnya untuk menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Dia sangat bersemangat dan masih konsisten untuk masuk MRSM serta mengejar cita-cita sebagai juruterbang TUDM,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni serta menyampaikan pampasan takaful kepada Putri Qisya di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru di sini hari ini.

Putri Qisya menerima pampasan tersebut mewakili tiga adiknya, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, yang turut belajar di sekolah sama; serta Hawa Adriana Nur Izzat, 8; dan Anayla Humaira Nur Izzat, 7, yang kedua-duanya murid Sekolah Kebangsaan Sungai Korok.

Pada Isnin lalu, negara dikejutkan dengan tragedi enam beranak maut dalam kemalangan di Sungai Korok berhampiran Kampung Kemboja, Jitra, apabila kereta dinaiki terhumban ke dalam sungai.

Mangsa yang terkorban ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32; isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, Hawa Adriana, Anayla Humaira dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haidar. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN