BENTONG – Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dengan berita yang tular mengenai penutupan penuh laluan arah Kuantan di Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) susulan kerja-kerja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurut kenyataan ECRL, laluan itu tidak ditutup sepenuhnya, sebaliknya hanya dilencongkan bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan struktur jambatan bawah (Road Under Bridge – RUB14) dijalankan dengan selamat.
“Lencongan trafik telah diaktifkan sepenuhnya antara Kilometer (KM) 25.75 hingga KM27.1 sejak 8 Julai lalu dan berlanjutan sehingga 8 Ogos ini.
“Kerja-kerja ini memerlukan ruang kerja yang selamat dan terkawal. Pihak kami mengambil langkah mitigasi agar trafik terus lancar. Jumlah tiga lorong setiap hala dikekalkan menerusi sistem lencongan,” kata kenyataan itu.
ECRL menjelaskan penutupan lorong tersebut mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua langkah keselamatan telah dipatuhi. – KOSMO! ONLINE