PETALING JAYA – Bergelar seorang ibu buat pertama kali sememangnya datang bersama pelbagai cabaran dan ketakutan yang tidak dijangka, apatah lagi buat pelakon Datin Atikah Suhaime yang mengakui dirinya berasa takut untuk meletakkan anaknya, Lyla Mulan Teh, dalam kerusi keselamatan bayi selepas menonton video dalam TikTok ketika pulang ke Singapura baru-baru ini.
Menurut Atikah atau nama lengkapnya Nur Atikah Mohd. Suhaime, 34, dia sentiasa berusaha mencari maklumat berkaitan keselamatan anak, namun tidak menyangka berita tular mengenai kenyataannya tersebut mempengaruhi emosinya.
“Saya rasa semua orang yang kali pertama menjadi ibu ada perasaan yang sama.
“Kita pula bukan tengok sumber yang betul. Saya tengok TikTok dan terus percaya,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana My Stupid Boss: The Animated Series di Hotel Crystal Crown di sini, semalam.
Tambahnya, video tersebut memberi amaran bahawa penggunaan kerusi keselamatan bayi untuk tempoh lama boleh mengganggu pernafasan anak dan dianggap sebagai ‘pembunuh senyap’.
“Saya memang selalu letak Mulan dalam car seat, tapi bila nampak video itu, saya terus takut. Katanya, bayi tak boleh duduk lama sangat dalam car seat sebab risau susah bernafas.
“Dia bukan jerit, kadang-kadang kita tak tahu apa jadi pada dia dan ingat dia tengah tidur jadi saya paniklah,” jelasnya.
Berikutkan kerisauan itu, Atikah sanggup memangku anaknya sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura selama lima jam.
Suami kepada pelakon filem TanTiAna itu, Datuk Lokman Teh turut berasa bimbang dan memilih untuk menghormati naluri keibuan isterinya itu.
“Memang lima jam saya peluk anak. Sampai Singapura pun saya masih dukungnya.
“Dia tanya saya sakit ke tak. Tapi saya kata tak sakit sebab saya pun memang selalu buat latihan angkat berat,” ujarnya.
Sebelum ini, Atikah meluahkan kebimbangan terhadap penggunaan kerusi keselamatan bayi yang didakwa memberi tekanan pada tubuh bayi, namun niatnya disalahertikan hingga mencetuskan perdebatan di media sosial.
Untuk rekod, Atikah mendirikan rumah tangga dengan Lokman Teh pada 21 Januari tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Lyla Mulan Teh pada 8 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE