PUTRAJAYA – Beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah dipercayai milik menteri dan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dilihat mulai memasuki pekarangan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, malam ini.
Dilihat mula memasuki bangunan itu adalah kenderaan dinaiki Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang diiringi polis pengiring tentera sekitar pukul 7.20 malam.
Selepas itu, ia disusuli kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid pada pukul 7.40 malam.
Turut kelihatan memasuki bangunan Seri Perdana, kenderaan yang membawa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Selain itu, kelihatan memasuki premis sama sekitar pukul 8.09 malam adalah kenderaan yang membawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH).
Lebih 20 kenderaan mewah dilihat sudah memasuki Seri Perdana setakat pukul 8.15 malam tadi.
Difahamkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Ahli Parlimen BN, malam ini.
Tidak dipastikan apa tujuan dan agenda pertemuan itu namun, ia mungkin ada kaitan bagi membincangkan isu semasa termasuk pada sidang Parlimen dan perkara membabitkan badan kehakiman. – KOSMO! ONLINE