MELAKA – Seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya sehingga parah, tahun lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat keputusan itu selepas tertuduh, See Yong Fei, 36, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya berusia 39 tahun dengan cara memukul dan menumbuk muka serta tangan selain menendang belakang badan mangsa sehingga patah tulang di beberapa bahagian anggota badan.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.28 malam di Taman Desa Bertam dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei 2024 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta dikenakan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memukul isterinya kerana berang wanita itu keluar rumah tanpa izin untuk pergi ke pasar dan melarang mangsa bergaul dengan orang lain.
Terdahulu, Peguam Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum diberikan dengan alasan anak guamnya menyara lima anak yang masih kecil dan bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
Peguam Kent Tan Chow Teng turut hadir pada prosiding berkenaan selaku peguam pemerhati bagi pihak mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kecederaan mangsa.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula tarikh sabitan 11 Julai 2025 dan denda RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE