NEW YORK – Jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso menganggap ‘penderitaan’ pasukannya musim ini sudah pun berakhir selepas tewas 0-4 kepada Paris Saint-Germain pada aksi separuh akhir Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife, awal pagi semalam.
Alonso percaya bahawa keputusan itu tidak akan memberi gambaran kepada kemampuan pasukannya musim depan sebaliknya mahu kegagalan yang dilalui mereka menjadi pengajaran berguna sebelum memulakan saingan musim baharu.
Alonso kekal dengan pendiriannya dengan bertegas tiada apa lagi yang perlu diratapi dan menjanjikan akan ada hari yang lebih baik menanti Real pada saingan yang bakal disertai selepas ini.
“Perasaan kami ketika ini tidak begitu baik, namun kami akan cuba belajar sesuatu daripada perlawanan kali ini.
“Kami sudah boleh belajar sesuatu daripada aksi dengan PSG. Sekarang kami memerlukan rehat dan bagi saya ini bukannya permulaan musim baharu sebaliknya sekadar pengakhiran untuk musim ini.
“Selepas tiga minggu bersama pasukan, saya fikir kami boleh ambil perkara positif khususnya apa yang kami sudah harungi setakat ini,” katanya.
Keputusan itu juga menyaksikan Real Madrid menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi selepas hanya menamatkan saingan La Liga di tangga kedua malh gagal dalam perebutan Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Sepanyol. – AGENSI