PETALING JAYA – Keliru dengan label halal, penyanyi Syasya Rizal mendedahkan secara tidak sengaja termakan daging babi ketika menikmati hidangan di sebuah restoran di China.
Syasya atau nama sebenarnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, berkata, perkara itu disedari selepas suaminya bertanyakan kepada petugas mengenai makanan untuk Muslim.
“Itulah, ingat label halal untuk semua makanan dekat situ. Rupa-rupanya spesifik untuk satu makanan sahaja.
“Pengajaran, selepas ini kena periksa betul-betul,” kata Syasya menerusi paparan video yang dikongsikan di TikTok.
Begitupun, klip tersebut sudah dipadamkan bekas anggota kumpulan Dolla itu selepas beberapa jam dimuat naik.
Difahamkan, Syasya bercuti bersama suaminya Nasrullah Mohd. Sapie dan anak mereka Muhammad Yassir Hayyan di China, minggu lalu.
Menerusi video berkenaan, kelihatan suaminya bertanyakan kepada cef sebelum kembali ke meja makan bagi memaklumkan Syasya lauk diambilnya adalah daging khinzir.
Selain itu, Nasrullah kemudian turut memintanya menggunakan pinggan bersama sudu dan garfu lain jika mahu menjamah juadah lain yang halal.
Menerusi hantaran sama, Syasya memaklumkan terus terbantut selera untuk terus mengisi perut walaupun ada makanan halal.
“Lepas tahu, terus tak berselera nak makan benda lain dekat situ walaupun ada label halal. Trauma,” ujarnya.
Terdahulu, sepanjang berada di Yunnan, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 20 April tahun lalu itu berkongsi banyak gambar serta video keluarga kecil mereka. – KOSMO! ONLINE