GEORGE TOWN – Sebuah stor penyimpanan stok barang di sebuah pasar raya di Bayan Lepas, di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran, hari ini.
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari itu tidak melibatkan sebarang laporan kecederaan mangsa termasuk kakitangan di pasar raya berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.01 tengah hari tadi.
Menurutnya, operasi pemadaman api melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru yang diketuai Komander Operasi, Abdul Manap Kadir.
“Kebakaran berlaku di bawah ruang tangga tingkat bawah pasar raya lima tingkat, sebuah stor penyimpanan stok barangan dengan anggaran kemusnahan adalah sebanyak 40 peratus.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya di sini, petang tadi.
Beliau memberitahu, operasi tersebut tamat pada pukul 3.01 petang tadi dan kemudiannya diserahkan kepada pihak Pasukan Penyiasatan untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE