ALOR SETAR – Penyalahgunaan MyKad palsu atau milik orang lain memberi banyak kesan serius termasuk mampu memberi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan bahawa MyKad palsu boleh digunakan warga asing atau penjenayah untuk menyamar sebagai warganegara Malaysia.
Katanya, keadaan itu memberi peluang kepada mereka untuk memasuki dan tinggal di negara ini tanpa dikesan serta melakukan jenayah yang boleh membahayakan keselamatan negara.
“Penggunaan identiti palsu juga boleh menyebabkan penjenayah atau pendatang asing memasuki sistem pentadbiran negara, mengakses maklumat penting dan mengganggu integriti sistem tersebut,” katanya.
Menurut JPN, selain itu, kes penyalahgunaan MyKad itu juga mendorong kepada penipuan dalam urusan kewangan serta ekonomi negara.
Katanya, penjenayah yang menggunakan MyKad palsu mengambil kesempatan dengan memohon pinjaman atau mendapatkan perkhidmatan bayaran kredit untuk melakukan penipuan kewangan.
“Ia boleh menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada institusi kewangan selain mencemarkan sistem kewangan negara.
“Penjenayah yang melakukan pengubahan wang haram pula mengambil kesempatan dengan menggunakan identiti palsu bagi mengelak dikesan,” ujarnya.
JPN memaklumkan, penggunaan identiti palsu itu memberi ruang kepada pengaliran wang secara tidak sah yang boleh merosakkan ekonomi dan mempengaruhi kestabilan kewangan negara.
Selain itu, ia dikhuatiri menyebabkan penyelewengan sumber iaitu apabila individu yang tidak sah mendapat akses kepada faedah sosial, subsidi kerajaan atau kemudahan kesihatan.
“Ia juga akan menyebabkan penyelewengan sumber dan ketidakadilan terhadap mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Mengikut JPN, penyalahgunaan MyKad palsu mampu merosakkan reputasi agensi seterusnya mengurangkan kepercayaan masyarakat.
Katanya, apabila masyarakat mengetahui bahawa MyKad palsu digunakan secara berleluasa, ia boleh menyebabkan ketidakpercayaan terhadap integriti sistem pendaftaran nasional.
“Ia seterusnya mewujudkan persepsi sistem di negara ini tidak cukup kukuh untuk memastikan hanya warganegara sah diberi akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.
“Rakyat juga akan meragui dan memberikan persepsi negatif terhadap sistem keselamatan data peribadi yang ditadbir urus dengan memberi tohmahan sekali gus mencemarkan imej JPN,” katanya.















