fbpx
Antara kawasan bereba di Telaga Nenas, gewang minnow dan soft plastic udang efektif di sana lebih-lebih lagi ketika air surut dan ikan keluar dari reba.

Permainan gewang Telaga Nenas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Beberapa trip sebelum ini ke sini, saya hanya bercampur teknik, iaitu memainkan gewang dan udang hidup serta mencuba pancing layang bersama tekong Along.

Kesemua trip yang awal itu me­rupakan proses pembelajaran untuk saya mengenali kawasan pancingan, bentuk reba, kedalaman dasar dan arus yang bersesuaian. Tekong Along dan rakan-rakan yang selalu turun ke sana juga banyak membantu dalam menambah info-info yang saya perlukan.

Saya perhatikan estuari di sini tidaklah sedalam mana dan jika air surut bakal menyerlahkan reba-reba yang berselirat, bahkan kebanyakan kawasan berjuram (drop-off) juga cetek antara dua hingga enam kaki dalam sahaja.

Saya merasakan gewang jenis selaman cetek atau minnow pasti efektif digunakan termasuklah soft plastic berbentuk udang. Ini berikutan di air yang cetek, gewang-gewang jenis ini senang dimainkan dan ikan pemangsa mudah menyedari kehadiran gewang di perimeter serangannya berbanding di kawasan yang dalam.

Kemudian, saya menempah perkhidmatan tekong Muhammad Zakwan Ahmad Zahadi atau lebih popular di laman Facebook sebagai Zack Anglerz. Tekong muda ini terkenal dengan trip pancing yang hanya menumpukan permainan gewang, dan rekod tangkapan ikannya dengan pelbagai jenis gewang juga amat cemerlang.

Nasihat teknikal

Saya biasanya bergerak berdua sahaja dalam kebanyakan trip memancing, seperti biasa sahabat baik saya Nazreen menemani. Jumlah pemancing yang minimum di atas bot memudahkan proses memainkan gewang sepenuh
masa.

Sebelum trip, Zack ada me­­nyarankan untuk membawa gewang jenis minnow, iaitu gewang berprofil kurus memanjang dengan saiz di antara lapan hingga 12 sentimeter (sm). Kedua-dua jenis gewang minnow iaitu terapung (floating) dan tenggelam perlahan (slow sinking atau suspending) perlu dibawa kerana ada lokasi-lokasi yang tertentu memerlukannya.

Selalunya minnow jenis terapung akan digunakan untuk kawasan bereba padat yang sedikit tenggelam. Jadi apabila ia dimainkan, ia boleh dihentikan seketika supaya ia terapung dan melepasi reba, kemudian baru ia dikarau semula. Dengan ini kejadian gewang tersangkut ke reba dapat dikurangkan.

Bagi minnow jenis tenggelam secara perlahan atau suspending pula, ia dapat dimainkan di kawasan yang sedikit dalam dengan membiarkan ia tenggelam terlebih dahulu sebelum karauan dilakukan.

Gewang minnow yang bergemerincing (rattling) kerana ada bebola besi di dalam badannya juga boleh dibawa, kerana ada masanya ikan mahu gewang yang berbunyi bising, terutamanya ketika air keruh.

Saya dapat seekor ikan siakap merah menggunakan soft plastic udang Chasebait.

Perlu juga bawa minnow dengan bermacam warna seperti warna-warna yang natural dan terang. Ia boleh dipelbagaikan mengikut keadaan cuaca dan air.
Biasanya (rule of thumb), gewang warna natural untuk cuaca redup se­perti waktu awal pagi, lewat petang dan ketika langit mendung serta
di dalam keadaan air yang jernih, manakala gewang warna terang pula untuk cuaca yang cerah seperti masa tengah hari yang terik dan di dalam keadaan air sedikit keruh.

Set mengilat pula disarankan joran panjang antara enam hingga tujuh kaki dan berkekuatan antara 8-17, 10-20 atau 15-30 paun (lb), dengan tali sulam (braided), antara 15 hingga 30lb sebagai mainline. Shock leader fluorocarbon pula antara 40 hingga 50lb.

Setiap keadaan arus boleh sahaja memainkan gewang di sini, yang membezakan hanya masa yang dapat memainkan gewang itu lama atau sekejap. Jika air besar, arusnya laju, jadi sekejap sahaja dapat memainkan gewang iaitu ketika arus bertukar.

Jadi keadaan arus tiga hingga ke empat hari sebelum air mati (me­­nyorong kecil) dan air mati, paling sesuai untuk turun mengewang di sini kerana lebih banyak masa dapat diluangkan untuk memainkan gewang.

Korek rahsia

Sebelum memulakan sesi menggewang, saya bertanyakan kepada tekong, apa sebab utama ikan pemangsa di kawasan ini gemar menyergap gewang jenis minnow. Seperti apa yang dijangkakan, jawapan Zack sama seperti apa yang saya fikirkan sebelum ini.

“Kuncinya, makanan paling digemari ikan pemangsa di sini ialah ikan todak jenjulung dan gewang minnow paling sesuai digunakan kerana ia amat menyerupainya baik dari segi bentuk dan gaya renangan,” ujar Zack.

Tambahnya: “Perairan yang cetek lebih sesuai menggunakan minnow berbanding gewang deep diver se­perti crankbait yang bakal tersangkut di reba sahaja.”

Tekong juga lebih gemar menggunakan gewang minnow bersaiz besar sehingga saiz 12sm.

“Gewang besar, ‘target’ ikan besar,” sarannya.

“Penat sedikit main gewang besar ini, jarang hendak kena ikan, tetapi sekali ikan ‘ngap’, saiznya kasar. Ikan pemangsa saiz kecil juga kadang kala hentam gewang saiz besar juga,” ujarnya lagi.

Sama seperti kawasan estuari di tempat lain, gewang minnow ini terbaik dimainkan secara rentapan pendek-pendek dan diikuti dengan beberapa hentian di antaranya. Ikan kebiasaannya akan membedal gewang saat ia bergerak semula selepas berhenti.

Soft plastic udang

Saya sudah bertahun tidak menggewang di kawasan estuari, sekejap sahaja sudah ‘pancit’. Oleh itu saya terpaksa berselang-selang memainkan gewang minnow dan gewang soft plastic berbentuk udang jenama Chasebait dari Australia.

Ia sangat menyerupai udang hidup dan model terbarunya dilengkapi dengan profil rattling dengan bebola besi halus di bahagian kepalanya, jadi ia lebih bising.

Soft plastic ini dimainkan dengan mengangkat joran tinggi sambil menghenjut-henjut pantas dan pendek-pendek hujung joran ke atas, kemudian biarkan ia tenggelam hingga ke dasar semula dan sambung proses sehinggalah ia sampai semula ke bot. Ia bertujuan membuat pergerakan udang sebenar yang ‘terjetak-jetak’ di dalam air.

Petang itu saya kena satu sergapan yang langsung tidak dapat dikawal walaupun drag kekili telah diketatkan sepenuhnya. Kekuatan benaman ikan ke reba lawan keka­ngan saya itu berjaya meluruskan mata kail.

Ini menambahkan dendam saya, dan pasti estuari ini akan selalu diulangi sampai ia dilunaskan.

Lagipun saya masih belum puas memainkan gewang di sini, ditambah lagi hendak mencuba memainkan gewang topwater pula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN