KUALA LUMPUR – Impian skuad hoki lelaki bawah 18 tahun (B-18) negara mara ke separuh akhir Piala Asia Remaja B-18 2025 menjadi kenyataan meskipun sekadar seri 2-2 dengan Uzbekistan dalam aksi terakhir Kumpulan B di Dazhou, China hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Young Tigers muncul naib juara Kumpulan B di belakang Jepun dan bakal membuat perhitungan menentang juara Kumpulan A sama ada Pakistan atau China di separuh akhir pada Jumaat ini.
Ketua jurulatih, Mohd. Sufian Mohamad bersyukur dengan pencapaian anak-anak buahnya, namun meluahkan kekecewaan terhadap penyudah pukulan sudut penalti (PC) yang hanya berjaya disempurnakan sekali daripada sembilan peluang.
“Saya tidak berpuas hati dengan set piece kita hari ini. Kita dapat sembilan peluang PC tapi hanya satu yang menjadi. Pemain perlu menilai semula apa yang kurang dan perbaiki segera,” katanya.
Sufian mengakui struktur permainan pasukan agak longgar, namun memuji semangat juang pemain yang tetap beraksi bermati-matian hingga ke saat akhir dan kini perlu memanfaatkan tempoh satu hari rehat untuk menilai semula prestasi serta strategi.
Tambahnya, saingan separuh akhir dijangka lebih mencabar kerana kesemua pasukan yang layak merupakan antara skuad terbaik Asia dalam kategori remaja.
“Separuh akhir bukan macam peringkat kumpulan. Semua pasukan yang layak kali ini kuat dan kita kena bersedia sepenuhnya dari segi fizikal, taktikal dan mental,” jelasnya.
Dalam aksi itu, Uzbekistan membuka jaringan menerusi Bunyodbek Khudoynazarov pada minit ke-34, namun skuad negara pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil jaringan padang Muhammad Izz Ilhan Azrul Ridzuan.
Pasukan lawan kembali di depan menerusi PC daripada Nuriddinbek Rahmatullaev pada minit ke-51, sebelum Young Tigers bangkit mengelak kekalahan hasil gol penyamaan Muhammad Rafiq Mohamad Raze tiga minit sebelum tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE