fbpx

‘Saya rasa tak sedap hati kerana abang, kakak mengadu mengantuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Adliah Syuhada (tiga dari kanan) tidak dapat menahan kesedihan ketika melihat jasad enam sekeluarga diangkat dari dalam Proton Saga Iswara di Sungai Korok, Jitra hari ini. -Foto oleh SHAHIR NOORDIN

JITRA – “Kami memang dah rasa tak sedap hati sebab malam sebelum kejadian abang dan kakak ipar beritahu mereka mengantuk. Itu sebab saya minta mereka tidur dahulu di rumah saya”.

Demikian kata Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, adik kepada Allahyarham Mohamad Azim Izat, 32, ketika ditemui di lokasi kejadian di Sungai Korok, Kampung Kemboja, di sini hari ini.

Katanya, abang bersama kakak ipar, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7, dan Tuah Haydar yang baru berusia enam bulan tidur di rumahnya di Taman Sri Aman, di sini pada malam Jumaat lalu.

“Malam itu abang dan kakak ipar beritahu mereka mengantuk, jadi saya minta mereka tidur di sini. Selepas itu mereka pulang ke rumah ibu mentua abang di Jerlun, dekat sini kerana mereka tinggal di sana.

“Mereka biasa pulang pada awal pagi, jadi kami tak rasa pelik. Namun bila mereka tak sampai di rumah di Jerlun, kami rasa tidak sedap hati dan cuba mencarinya namun tak jumpa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, abangnya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Alor Setar manakala isterinya berniaga roti canai di Pendang, dekat sini.

Sebaik menyedari kehilangan mereka, katanya, dia dan beberapa ahli keluarga lain cuba mencari di sepanjang laluan dari rumahnya sehingga ke Jerlun pada hari kejadian sehingga semalam.

“Kami cari sepanjang jalan termasuk di lokasi kejadian tetapi tak jumpa apa-apa yang mencurigakan, namun dalam hati terdetik mungkin mereka ada di kawasan ini.

“Usaha mencari dilakukan ahli keluarga sehingga semalam dan pagi ini kami dimaklumkan oleh orang awam tentang penemuan kereta di dalam Sungai Korok pada pukul 8 pagi ini,” ujarnya.

Menurutnya, dia terus ke lokasi kejadian dan hanya ternampak bahagian belakang kereta terapung sebelum dinaikkan ke tebing dengan kesemua mayat mangsa masih di dalam Proton Saga Iswara.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hiba dan luluhnya hati saya melihat jasad dibawa keluar dan dinaikkan satu persatu dari kereta,” jelasnya.

Katanya lagi, kenangan terakhir dengan keluarga itu apabila arwah abangnya itu menyuap nasi kepadanya walaupun tanpa diminta.

“Kami makan nasi sama-sama, biasanya abang tak pernah tawar untuk suap tetapi malam tadi abang suap saya nasi. Saya memang rapat dan manja dengan abang, sekarang dia sudah tiada.

“Saya sedih mengenangkan empat anak saudara saya termasuk bayi, mereka masih kecil. Bayi itu sangat rapat dengan saya kerana saya ibu susuannya. Kesemua anak saudara panggil saya mama dan suami abah,” katanya.

Tambahnya, anak sulung abangnya, Putri Qisya, 12, terselamat kerana ketika kejadian dia tidak mengikuti keluarga ke rumahnya dan berada di rumah neneknya di Jerlun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI