KESETIAAN dan sifat romantik bersama pasangan tidak hanya diperlihatkan oleh manusia, malah di alam haiwan turut mengamalkan sikap sedemikian. Boleh dikatakan sesetengah haiwan lebih setia dan romantik berbanding manusia, hanya maut yang memisahkannya.
Meskipun di alam liar, haiwan-haiwan ini hidup penuh kasih sayang dan setia dengan pasangannya seumur hidup. Pasangan haiwan itu akan bersama-sama menjaga ‘kerukunan rumah tangga’, melindungi sarang dan menjaga anak-anak yang masih kecil.
Lebih menakjubkan pasangan dua sejoli itu dilihat berdua bersama-sama walau ke mana sahaja pergi. Hubungan romantik tersebut dikatakan telah bermula sejak awal usia sehingga masing-masing menemui ajal. Sehubungan itu, CitaRasa pada minggu ini kongsikan lima haiwan yang paling setia dan romantik di dunia seperti dilaporkan oleh Telegrafi dan a-z-animals.
1- Angsa Trumpeter
ANGSA (swan) terutama angsa Trumpeter telah lama melambangkan cinta dan romantik. Ia mengawan dengan pasangan yang sama seumur hidup dan membesarkan anak-anak bersama-sama. Jika angsa kehilangan pasangannya, ia akan menghabiskan masa yang lama berkabung dan memilih hidup bersendirian daripada mencari pasangan baharu.
Ketika jatuh cinta, angsa spesies Amerika Utara ini akan melakukan ritual yang sangat indah dengan merapatkan leher dan muka yang mencipta bentuk hati. Oleh itu, tidak hairanlah haiwan ini elegan dan romantis yang melambangkan cinta serta perkahwinan.
2- Burung hantu barn
MEMPUNYAI wajah berbentuk hati dan mata besar membuatkan burung hantu ini kelihatan sangat comel. Tidak seperti burung lain yang monogami tetapi cenderung tidak setia, burung hantu barn (barn owls) meletakkan cinta dan kepercayaannya hanya kepada seekor pasangan.
Burung hantu jantan akan membawa tikus mati kepada si betina sebagai hadiah cinta dan akan membuat panggilan mengawan. Sebaik sahaja si betina itu membalas, pasangan ini akan bersama seumur hidup.
3- Angelfish Perancis
IKAN ini menjadi hidangan popular di beberapa tempat di dunia. Angelfish Perancis (french angelfish) mempunyai badan yang rata membolehkannya bergerak lincah untuk melarikan diri daripada pemangsa dengan bersembunyi di celah-celah terumbu karang.
Ia menghabiskan masa di ‘stesen pembersihan’ yang menyediakan perkhidmatan membersih ikan-ikan di dalam laut.
Menariknya, haiwan romantik ini juga ditemui secara berpasangan. Ikatan percintaan si jantan dan betina telah terjalin sejak usia muda dan ia setia menghabiskan masa mengembara, memburu dan makan bersama-sama.
Haiwan penyayang ini turut membuat sarang bawah air dan akan dipertahankan secara agresif. Sebaik sahaja mengawan, ikan ini akan bergerak bersama pasangannya seumur hidup.
4- Memerang
MEMERANG merupakan salah satu daripada beberapa mamalia yang mengawan bersama pasangan yang sama untuk seumur hidup. Haiwan ini hanya mencari pasangan lain jika pasangannya meninggal dunia. Terdapat dua jenis memerang iaitu memerang Eropah dan memerang Amerika Utara.
Walaupun kedua-dua jenis mempunyai banyak persamaan, termasuk amalan mencari pasangan untuk sepanjang hidup, memerang Eropah dilihat paling setia dengan pasangannya dan hanya maut yang memisahkan pasangan itu, sebaliknya memerang Amerika Utara masih mempunyai kecenderungan untuk curang.
5- Kuda laut
UMUM mengetahui kuda laut jantan yang bunting anaknya sepanjang tempoh kehamilan dan lebih menakjubkan, haiwan ini merupakan satu-satunya spesies di bumi ini yang melakukan hal sedemikian. Sesetengah spesies kuda laut juga mengamalkan hidup monogami dan memilih untuk tinggal bersama pasangan yang sama untuk seumur hidup. Kesetiaan kuda itu turut menawarkan faedah evolusi. Tetap setia kepada pasangan bermakna lebih banyak kehamilan semasa musim mengawan yang membolehkan banyak kuda laut dilahirkan.