KUALA LUMPUR – Bekas beregu campuran badminton negara, Goh Liu Ying menyifatkan tekanan yang dihadapi atlet perlu ditangani dengan baik apatah lagi dalam era media sosial yang penuh dengan kritikan terbuka.
Berhubung hantaran terkini pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di Instagram sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi, Liu Ying berkata, apa yang paling penting buat mana-mana atlet adalah berani mengakui jika berdepan tekanan serta bersedia mendapatkan bantuan.

Liu Ying menasihatkan Zii Jia supaya mencari jalan terbaik untuk menguruskan perkara itu, termasuk mendapatkan khidmat pakar psikologi sekiranya benar-benar berdepan masalah.
“Saya rasa semua atlet, tak kira tahap mana pun, pasti akan melalui tekanan. Cuma beza banyak atau sedikit saja.
“Tapi kalau dah sampai tahap kita sendiri tak boleh kawal, memang perlu dapatkan bantuan profesional seperti berjumpa pakar psikologi.
“Saya sendiri pernah lalui perkara ini sebelum Olimpik. Kami ada jumpa (pakar) psikologi.
“Jadi langkah pertama paling penting adalah kita kena berani akui yang kita sedang ada masalah dan perlukan bantuan,” katanya ketika ditemui di Bukit Kiara, hari ini.
Beliau menjelaskan, proses pemulihan daripada kecederaan merupakan fasa paling mencabar bagi kesihatan mental seseorang atlet, lebih-lebih lagi pemain profesional seperti Zii Jia.
“Kecederaan memberi kesan kepada mental. Wujud tekanan daripada penaja yang mahukan pendedahan dan pada masa sama, atlet itu sendiri tergesa-gesa untuk kembali ke gelanggang bagi membuktikan kemampuan.
“Apabila kembali, tumpuan dan harapan yang tinggi diletakkan ke atasnya, sedangkan realitinya, seorang atlet memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan tidak mungkin dapat kembali prestasi 100 peratus serta-merta,” jelasnya.
Sehubungan itu, Liu Ying merayu kepada para peminat badminton tanah air agar memberikan Zii Jia ruang dan masa yang secukupnya untuk membina semula keyakinan diri.
“Saya harap para peminat boleh beri dia masa untuk kembali,” katanya selepas melihat sendiri hantaran Instagram Zii Jia. -KOSMO! ONLINE