ALOR SETAR – Satu sindiket judi dalam talian yang beroperasi di sebuah taman perumahan di sini dan didalangi warga asing tumpas dalam operasi oleh Jabatan Imigresen (JIM) Kedah semalam.
Pengarah Imigresen Kedah berkata, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, Ops Serkap itu dilaksanakan hasil maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan di premis berkenaan.
“Dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Alor Setar, tujuh warga China dan dua rakyat tempatan ditahan. Suspek disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian dan menjadikan kediaman sebagai pusat operasi.
“Pemeriksaan mendapati tujuh warga asing itu melanggar syarat pas lawatan yang sah, manakala dua warga tempatan dipercayai bersubahat dengan melindungi dan menggaji mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, turut dirampas dalam operasi itu ialah tujuh pasport China, beberapa komputer riba, serta lebih 30 unit telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian.
“Kesemua suspek yang berusia 20 hingga 49 tahun kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 51(5)(a) dan 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63. Operasi selesai sekitar pukul 12.30 tengah hari tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Jabatan Imigresen Negeri Kedah menegaskan kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan atau terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Tindakan tegas turut akan diambil ke atas pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” jelasnya.-KOSMO!ONLINE