JOHOR BAHRU – Pusat mencuci kenderaan di sekitar bandar raya ini hampir ‘lumpuh’ apabila seramai 150 orang termasuk 147 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mereka yang berusia 21 hingga 57 tahun itu bekerja di 64 pusat cuci kenderaan.
Katanya, operasi itu bagi memastikan aspek pematuhan undang-undang oleh pengusaha premis cuci kenderaan, selain membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama bagi kesalahan tinggal lebih masa.
“Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Kumar, operasi turut melibatkan penguatkuasaan kesalahan menyambung bekalan air secara haram. Suruhanjaya Syarikat Malaysia turut keluarkan kompaun ke atas pengusaha yang gagal pamer papan tanda, lesen tamat tempoh dan tidak mencatat nama perakuan perniagaan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula mengeluarkan kompaun atas kesalahan gagal pamer harga, manakala pihak berkuasa tempatan pula menyita peralatan dan kompaun terhadap premis beroperasi secara haram,” katanya.-KOSMO! ONLINE