PARIT BUNTAR – Seorang nelayan yang keluar menangkap ikan seorang diri ditemui lemas dengan mayatnya tersangkut dalam pukat di perairan Tanjung Piandang, Kuala Kurau di sini kira-kira pukul 8 pagi hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Hairil Othman berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd. Hafifi Harun, 30, dikatakan keluar ke laut sekitar pukul 3 pagi.
Beliau berkata, dia kemudiannya ditemui lemas selepas bot miliknya dikesan terapung tanpa pengendali sekitar pukul 8 pagi oleh nelayan tempatan yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
“Kehilangan itu segera disedari komuniti nelayan setempat yang kemudiannya melancarkan pencarian segera sebelum pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau menerima maklumat rasmi daripada pihak polis.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan dan hasil kerjasama erat serta kepekaan nelayan tempatan telah membantu mempercepatkan penemuan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hairil berkata, mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati iaitu tersangkut pada pukat tidak jauh dari lokasi botnya ditemui.
“APMM amat menghargai tindakan pantas komuniti nelayan yang membantu mengesan mangsa lebih awal,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke jeti berhampiran kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk pengecaman dan dokumentasi. – KOSMO! ONLINE