PETALING JAYA – Isteri pelawak, Along Cham, Afreena Suhaimi menegaskan tindakannya menghubungi bekas isteri suaminya, iaitu Zila Seeron hanyalah untuk mempertemukan anak tirinya, Ahmad Daniel dengan ibu kandung yang sudah terpisah selama lapan tahun.
Afreena memberitahu, dia tidak pernah berniat untuk menyerahkan Ahmad Daniel kepada Zila seperti didakwa Along semalam.
Dia bagaimanapun tidak menafikan dakwaan melanggar taklik yang sudah ditetapkan Along sejak awal perkahwinan mereka.
“Saya juga bertanya soalan sama, salah ke (mempertemukan anak dan ibu)? Seorang ibu yang sudah lapan tahun tak berjumpa dengan anaknya.
“Boleh dikatakan macam dipisahkan pun ya. Mestilah ibu itu rindu dengan anaknya.
“Sebelum ni kalian tertanya-tanyakan taklik tu apa? Inilah dia dan keluar daripada mulut dia sendiri, bukan saya!” katanya dalam InstaStory hari ini.
Afreena berkongsi perkara tersebut ketika menjawab pertanyaan netizen dalam InstaStorynya yang mempertikai tindakannya berkongsi lokasi anak tiri kepada ibu kandungnya.
Tegas Afreena, Zila juga tidak mempunyai niat untuk merampas hak penjagaan Ahmad Daniel daripada Along sebaliknya hanya mahu bertanya khabar.
“Dan niat saya bukan untuk memberi anak itu kepada ibunya, sebab Zila sendiri beritahu yang dia pun tak nak ‘fight’ tentang anaknya atas sebab tak mahu Ahmad Daniel tertekan.
“Malah Zila siap cakap ‘tak mengapalah biarlah anak aku dengan papa dia’.
“Zila hanya nak tahu tentang perkembangan anak dia sahaja,” ujarnya.
Dia juga meminta pihak lain berhenti mengeluarkan kenyataan tidak benar termasuk tuduhan enggan menjaga anak tiri seperti didakwa Along sebelum ini.
“Jadi, yang cakap saya tak nak jaga anak tiri, saya tidak kejam macam itulah,” ujarnya.
Pada petang Selasa, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, tampil di Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengemukakan tiga sebab utama yang menyebabkan lafaz taklik terhadap isterinya jatuh pada Julai 2024 di kediaman mereka di Cyberjaya.
Dakwanya, Afreena sudah melanggar tiga syarat yang diberikan sejak awal perkahwinan seperti menghubungi bekas isterinya, berlaku curang serta membelakangkannya dalam segala urusan rumah tangga.
Bagaimanapun, Afreena menafikan dirinya berlaku curang serta menganggap semua itu adalah tuduhan tidak berasas.
Untuk rekod, Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu.
Ini merupakan perkahwinan kedua Along selepas bercerai dengan bekas isteri, Zila Saeron pada September 2016. Mereka dikurniakan anak lelaki, Ahmad Daniel yang kini di bawah jagaannya. – KOSMO! ONLINE