Kami bertolak dari Alor Gajah, Melaka seawal pukul 6 pagi dan tiba di lokasi sekitar pukul 7 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam melalui Lebuh Raya Utara-Selatan.
Cuaca pagi itu redup dan permukaan air tasik juga lenang. Ini merupakan suasana yang sangat sesuai untuk mengewang ikan temensis.
Jika suasana berangin kuat, ia bakal menerbitkan alun-alun kecil di permukaan air.
Keadaan sebegini bakal menyukarkan pemancing meninjau aktiviti ikan dan menyusahkan sasaran balingan gewang.
Sebaik menaiki bot, kami menyusuri sepanjang tebing tasik secara perlahan-lahan dan menyasarkan gewang ke arah kawasan berpotensi seperti struktur kayu tumbang serta dahan pokok menjulur ke dalam air.
Tidak lama kemudian, ‘lesen’ pertama trip iaitu dua ekor anak ikan temensis berjaya dinaikkan. Saiznya kecil, jadi kami lepaskan semula ke dalam tasik.
Ini merupakan petanda yang sangat baik kerana awal-awal lagi ikan sudah sudi kepada gewang yang disuakan.
Ini juga menunjukkan ikan temensis pada hari tersebut dalam keadaan feeding mood.
Jika awal-awal lagi sudah susah mendapatkan sergapan ikan temensis, kadangkala ia bermakna sepanjang hari bakal menjadi sukar.
Tengah hari
Apabila matahari mula meninggi, kami ubah strategi. Saya menukar gewang kepada jenis selaman cetek (minnow) dan menyasarkan kawasan tebing cetek. Di situlah ikan temensis saiz kasar suka menunggu mangsanya.
Percaturan saya itu menjadi apabila seekor ikan temensis saiz sederhana menyambar gewang. Setelah berjaya dinaikkan, semangat kami semakin membara.
Kedatangan kami kali ini sememangnya tepat kerana ketika itu musim ikan temensis bertelur.

Kami dapat lihat banyak induk menjaga anak-anaknya dengan berenang dalam kumpulan. Dari jauh ia kelihatan seperti titisan air hujan di permukaan air.
Tekong kami, Nur Iqmal banyak memberi tunjuk ajar tentang kawasan yang berpotensi ikan temensis ini membawa anak dan cara mengenal pasti ‘mama’ yang sedang menjaga anak.
Saya beralih kepada gewang spinnerbait yang biasanya digunakan untuk ikan toman.
Disebabkan struktur tasik yang dipenuhi kayu dan ranting tenggelam, saya yakin gewang ini paling sesuai.
Saya lontarkan gewang ke kawasan pokok tenggelam, tempat di mana kelihatan seekor mama temensis membawa anak-anaknya.
‘Mama’ temensis
Selepas beberapa percubaan, gewang saya disambar dengan rakus. Ikan terus melarikan diri ke celahan reba, saya menahan benamannya dengan sedaya upaya menyebabkan joran saya melentur habis.
Selepas beberapa minit pertarungan yang sengit, akhirnya saya berjaya mendaratkan seekor mama temensis sepanjang 60 sentimeter (sm) dan dianggarkan seberat hampir enam paun (lb).
Ini merupakan satu rekod peribadi buat saya selepas sekian lama mencarinya di pelbagai lokasi.
Selepas bergambar, ikan itu dilepaskan semula.
Kami berhenti seketika untuk makan tengah hari sebelum menyambung sesi petang.
Petang
Petang itu aktiviti berlangsung dengan agak perlahan.
Kami cuba pelbagai teknik termasuk lontaran gewang secara rawak (blindcast) ke kawasan terbuka, namun tiada sambaran.
Tekanan udara yang semakin rendah dan keadaan tasik berangin mungkin menjadi penyebabnya.
Menjelang senja, kami kembali menggunakan gewang permukaan. Kali ini abang saya pula berjaya menaikkan seekor mama temensis saiz sekitar 50sm.
Ikan itu menyambar gewang berhampiran kumpulan anaknya.
Teknik kami mudah, lontarkan gewang ke kawasan berstruktur seperti pokok tenggelam, tebing berjuram (drop-off) dan lokasi yang kelihatan anak-anak ikan temensis berkumpul.
Di situlah biasanya induknya berada.
Hari itu ditutup dengan penuh kepuasan walaupun hasilnya tidak banyak.
Pengalaman bertarung dengan ikan yang agresif serta dapat menyaksikan ikan temensis menjaga anak-anaknya di tasik ini sangat memberi kepuasan kepada kami sebagai kaki gewang.
Selain itu, kami banyak belajar bagaimana untuk mengenali lokasi temensis berada, rupa kumpulan anak-anaknya yang masih ada induk dan apa gewang yang sesuai digunakan serta bagaimana memainkan gewang.
Bagi pemancing yang mencari pengalaman sebenar untuk ikan temensis ini, Tasik Chinchin boleh dijadikan destinasi wajib, asalkan anda tahu masa, tempat dan teknikterbaik.















