JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah yang mengiklankan barangan itu melalui aplikasi WeChat tumpas apabila lima suspek termasuk dalangnya ditahan dalam tiga operasi di sekitar bandar raya ini, 19 Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam berusia antara 29 hingga 46 tahun.
Menurut beliau, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor itu turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.95 juta.
“Modus operandi sindiket ini adalah mengiklankan dadah tersebut menggunakan WeChat, sebelum urusan jual beli dibuat sepenuhnya dalam talian dan ssetiap peket dadah dijual antara RM100 hingga RM200 di kawasan-kawasan umum seperti tepi longkang dan berdekatan tong sampah untuk diambil pembeli,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Kumar, kesemua suspek positif methamphetamine, manakala tiga suspek lelaki merupakan individu dikehendaki polis dengan mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
Kumar turut memberitahu, kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE