MELAKA – Seorang ejen pelaburan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebar, mengugut dan memiliki gambar lucah madunya, yang juga seorang guru pada Mac serta Jun lalu.
Tertuduh, Herni Sofini Omar, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 45 tahun yang juga madunya dengan menyebarkan gambar-gambar lucah mangsa melalui kiriman surat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menyampaikan ugutan jenayah terhadap madunya itu melalui surat yang menyembunyikan identiti tertuduh.
Kesemua kesalahan itu dilakukannya kira-kira pukul 2 petang di sebuah rumah bernombor, Jalan Meranti 3, Taman Sayang Selasih dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Mac 2025.
Dalam pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa telah menyimpan gambar lucah madunya di dalam telefon bimbit yang mana kesalahan itu telah dilihat kira-kira pukul 3 pagi di pejabat pegawai penyiasat jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, pada 2 Jun 2025.
Peguam Baharudin Baharim yang mewakili tertuduh kemudian merayu agar jaminan RM4,000 diberikan bagi kesemua pertuduhan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan penyakit kanser selain telah ditinggalkan oleh suaminya kerana kes tersebut.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 6 Ogos untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE