GEORGE TOWN – Punca kematian wanita dan anak perempuannya berusia dua tahun di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini, kelmarin tidak dapat dipastikan berikutan mayat mereka telah mereput.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang semalam mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah dikesan pada tubuh kedua-dua mangsa.
“Doktor tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian kerana kedua-dua mayat telah reput. Namun, tiada tanda-tanda jenayah atau unsur mencurigakan ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, mayat seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dan anak perempuannya berumur dua tahun ditemui dalam keadaan reput di bilik tidur utama sebuah unit kediaman di aras sembilan pangsapuri berkenaan, petang kelmarin.
Kedua-dua mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih kurang dua minggu lalu sebelum ditemui dan identiti mereka disahkan melalui dokumen pengenalan diri, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) – KOSMO! ONLINE