fbpx

Kalau tak sedia, jangan mohon tauliah di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemegang tauliah MAIS diingatkan tidak menyalahgunakannya ketika mengajar agama di masjid-masjid di negeri ini. - GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diingatkan tidak menyalahgunakannya ketika mengajar agama di masjid-masjid di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, ini berikutan kerajaan negeri masih menerima aduan membabitkannya seperti masih memegang jawatan dalam parti-parti politik.

Katanya, ada juga tidak berakhlak mulia, mendatangkan perasaan benci atau penghinaan atau perasaan tidak suka kepada Kerajaan Persekutuan atau mana-mana kerajaan negeri.

Selain itu, membangkitkan isu-isu yang boleh mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk negara ini.

“Saya tegaskan semula kepada para pendakwah agama yang berhasrat untuk menyampaikan ilmu dan berdakwah di masjid serta surau atau mana-mana tempat lain dalam negeri ini agar terus komited untuk berakhlak mulia serta menjauhkan diri daripada politik kepartian.

“Mereka yang tidak bersedia untuk memberikan komitmen ini disarankan agar tidak memohon tauliah di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, tauliah MAIS adalah suatu tanggungjawab dan bukan suatu kelebihan yang boleh diguna pakai sesuka hati.

Kata Mohammad Fahmi, berdasarkan Peraturan 14(1); Peraturan-peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 telah menetapkan syarat kelayakan para pemegang tauliah beragama Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bermastautin di Selangor.

Tambahnya, pemegang juga tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik dan bukan anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Negeri.

“Peraturan yang ditetapkan ini penting untuk memastikan masjid tidak menjadi medan propaganda politik dan perpecahan seperti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal keenam Dewan Negeri Selangor 2023.

“Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS tidak akan teragak-agak untuk menggantung tauliah jika ada aduan berasas yang diterima, seterusnya menarik balik tauliah daripada pemegang tauliah sekiranya aduan berikut terbukti benar,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kerjasama orang ramai menyalurkan aduan ke hotline Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 1800-882424 jika mendapati ada pendakwah yang telah melanggar syarat tauliah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI