fbpx

16 penumpang bas tak pakai tali pinggang keledar dikompaun RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stien memeriksa pemakaian tali pinggang keledar sebuah bas ekspres dalam operasi khas di Plaza Tol Alor Setar Utara, Alor Setar semalam. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Seramai 16 penumpang bas dikompaun RM300 seorang selepas didapati tidak memakai tali pinggang keledar pada hari pertama Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar bagi Bas Ekspres dan Bas Persiaran di sini semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, dua lagi penumpang berusia bawah 18 tahun yang didapati melakukan kesalahan sama diberikan nasihat dan advokasi.

Katanya, tindakan itu dilakukan hasil pemeriksaan ke atas 14 bas ekspres dan empat bas persiaran semalam.

“Bermula hari ini (semalam), kita melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu dan semua penumpang bas ekspres serta bas persiaran.

“Ia selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 Pindaan (2008),” katanya kepada pemberita pada operasi khas itu di Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini semalam.

Beliau berkata, antara alasan yang diberikan penumpang ialah mereka tidak selesa memakai tali pinggang keledar bagi perjalanan jarak jauh.

“Ada juga yang beri alasan tidak tahu ia wajib dipakai, namun itu alasan biasa yang diberikan setiap kali kita mahu kenakan kompaun,” ujarnya.

Menurutnya, penguatkuasaan sepenuhnya yang bermula semalam akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan semua pengguna pengangkutan awam terjamin.

“Tujuan penguatkuasaan ini adalah untuk mengurangkan risiko kecederaan dan kematian, termasuk mengelakkan penumpang tercampak ke hadapan sekiranya berlaku kemalangan, meningkatkan kesedaran dan disiplin keselamatan jalan raya serta menyokong matlamat aspirasi negara ke arah sifar kematian akibat kemalangan jalan raya (Vision Zero),” ujarnya.

Beliau pada masa sama turut meminta pengusaha memastikan setiap bas yang dibina mulai 1 Januari 2020 dilengkapi tali pinggang keledar di setiap tempat duduk serta menyarankan kemudahan itu turut disediakan bagi bas yang dibina sebelum tarikh tersebut.

“Pemandu bas wajib memakai tali pinggang keledar dan mereka diminta mengingatkan semua penumpang supaya sentiasa memakainya,” jelasnya.

Tambahnya, penguatkuasaan akan terus dilakukan melalui pemeriksaan di terminal bas dan hentian rehat dan rawat (R&R), operasi bersepadu bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), penggunaan rakaman video dan bukti digital bagi mengesan ketidakpatuhan serta penyamaran penguat kuasa JPJ. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI