SHAH ALAM – Kes insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini selepas tiada menemui sebarang unsur jenayah atau sabotaj dalam kes berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, siasatan akan dibuka semula sekiranya terdapat bukti atau keterangan baharu mengenainya.
“Kita berpuas hati dan kita tutup kes ini buat masa ini, tetapi boleh dibuka pada bila-bila masa jika ada maklumat baharu,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hussein turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk menyalurkannya ke pihak polis.
Kosmo! semalam melaporkan, tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian ditemui dalam letupan di Putra Heights tersebut.
Hussein pada sidang akhbar laporan siasatan itu juga memaklumkan pembinaan lot kedai pejabat dan penggantian paip pembentung di kawasan kejadian adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan Majlis Bandaraya Subang Jaya, Jabatan Alam Sekitar dan Petronas. – KOSMO! ONLINE