IPOH – Taktik licik sindiket penyeludupan dadah menyembunyikan bunga ganja di dalam kotak tilam dan kolam angin gagal apabila berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak.
Serbuan ke atas syarikat penghantaran barang di Petaling Jaya itu dijalankan oleh anggota Unit Narkotik JKDM Perak dan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat pada pukul 2.45 petang, 5 Jun lalu.
Pengarahnya, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, bunga ganja itu dijumpai selepas pemeriksaan dijalankan ke atas satu bungkusan yang disyaki mengandungi dadah.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan menemui lapan bungkusan plastik berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 9,858 gram dengan nilai pasaran berjumlah RM966,084.
“Siasatan awal mendapati bungkusan yang disembunyikan di dalam kotak tilam dan kolam angin itu akan dihantar ke United Kingdom melalui kurier,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 55,320 unit peranti rokok elektronik mengandungi cecair pelbagai jenama dan 706 keping jubin yang tidak diikrar dirampas dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada pukul 10 pagi, 4 Jun lalu.
Katanya, rokok elektronik yang dirampas dianggarkan bernilai RM896,800 dengan anggaran cukai RM530,670.40 manakala nilai jubin pula sebanyak RM70,600 dengan cukai RM45,890. – KOSMO! ONLINE