fbpx

‘Dia cakap dah tak tahan, tertekan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ain (kiri) dan Hishamuddin (tengah) ketika sidang media berkaitan kes anak dijual ke Kemboja, sindiket pemerdagangan manusia di Pejabat MHO di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang gadis berusia 21 tahun untuk bekerja di Singapura selepas menamatkan pengajian diploma dalam bidang sains pengurusan pejabat bertukar menjadi mimpi ngeri apabila menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Poipet, sempadan Thailand-Kemboja.

Selepas terjerat, mangsa dari Johor Bahru itu mengalami tekanan mental yang melampau sehingga pernah berhasrat untuk terjun dari bangunan akibat tidak tahan dengan penderaan psikologi sindiket terbabit.

Ibunya yang dikenali sebagai Ain, 42, anak gadisnya itu pada awalnya memaklumkan mahu ke Singapura untuk bekerja dalam bidang berkaitan pengurusan pejabat.

Namun, selepas dipujuk seorang kenalan kepada rakannya, dia diajak ‘jalan-jalan’ ke Thailand kononnya sementara menunggu kemasukan kerja di Singapura.

Bagaimanapun, katanya, tanpa disedari, dia telah diseludup masuk ke Kemboja dan dipaksa bekerja di sebuah syarikat penipuan dalam talian (scam compound) di Poipet.

Sejak Disember 2024, gadis itu telah dikurung, tidak dibenarkan keluar sesuka hati dan hanya dibenarkan makan atau keluar bilik mengikut masa tertentu.

“Kami sekeluarga tak tahu dia dah sampai Kemboja. Dia kata di Thailand sahaja. Tapi apabila mula hantar mesej minta tolong dan menyatakan tekanan mental yang dialami, baru kami sedar perkara sebenar.

“Dia ada cakap dah tak tahan, dia cakap nak terjun bangunan,” katanya pada sidang akhbar anjuran Pertubuhan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.

Lebih menyedihkan, sindiket tersebut turut mengugut untuk menjual gadis berkenaan ke sindiket lain di Laos atau Myanmar jika dia terus menunjukkan keinginan untuk pulang ke tanah air.

Setiausaha MHO, Hishamuddin Hashim berkata, kes itu menyerlahkan betapa seriusnya ancaman sindiket pemerdagangan manusia yang terus beroperasi secara agresif di rantau Asia Tenggara.

“Anak gadis ini bukan calang-calang, dia lulusan diploma, bercita-cita tinggi dan hanya mahu pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan tapi akhirnya dia ditipu, dipergunakan dan kini mengalami trauma yang teruk.

“Sindiket ini sangat licik. Apabila media dedahkan, barulah sindiket takut dan ada yang lepaskan mangsa kerana mereka tahu kita hantar maklumat kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja dan juga kepada pasukan khas anti pemerdagangan manusia di sana,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada 21 Mac 2025 di IPD Seri Alam, Johor, namun sehingga kini, mangsa masih belum dibebaskan.

“Kami telah menyerahkan semua maklumat dan bukti termasuk mesej WhatsApp kepada pihak Kedutaan dan Task Force. Kami juga ada maklumat lengkap termasuk nama dan nombor kad pengenalan pengurus-pengurus sindiket warga Malaysia yang berada di Kemboja.

“Kami beri amaran, lepaskan mangsa sebelum kami dedahkan nama kamu kepada pihak berkuasa antarabangsa,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI