HANOI – Seorang remaja berumur 15 tahun di Hanoi meninggal dunia selepas memicit jerawat pada wajahnya sebelum menyapu produk yang tidak disahkan di kediaman mangsa, lapor laman berita Must Share News kelmarin.
Menurut kenyataan hospital yang merawatnya, gadis tersebut mengalami kejutan septik disebabkan Staphylococcus aureus. Ia sejenis bakteria yang masuk ke dalam darah melalui luka jerawat tersebut.
Menurut saluran Hoa Học Tro, bakteria itu merebak dengan cepat di dalam badan mangsa dan merosakkan otak serta paru-parunya.
Walaupun menerima rawatan rapi termasuk pengudaraan mekanikal dan penapisan darah berterusan, mangsa tidak bertindak balas terhadap rawatan dan akhirnya meninggal dunia.
Seorang pakar dermatologi menjelaskan bahawa memicit jerawat dengan tangan yang tidak bersih boleh merosakkan kulit dan menyebabkan bakteria menembusi lebih jauh ke dalam kulit.
Katanya, ia berpotensi menyebabkan selulitis atau sepsis jika tidak ditangani dengan segera.
“Orang ramai harus mengelak daripada memicit jerawat di rumah dan sebaliknya mendapatkan rawatan di fasiliti perubatan jika pengekstrakan diperlukan,” katanya. – AGENSI