PETALING JAYA – Malaysia menyatakan hasrat untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Jerman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyatakan perkara itu ketika menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr. Peter Blomeyer hari ini.
“Saya maklumkan hasrat untuk terus memperkukuh hubungan dua hala merangkumi kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia juga berhasrat memperluas peluang perdagangan dan pelaburan dengan negara tersebut.
Menurut beliau, kerjasama lain termasuk dalam pendidikan termasuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)
“Serta pertukaran budaya dapat memupuk persefahaman dan menghargai kepelbagaian,” katanya.
Ujar beliau, hubungan menyeluruh itu diyakini mampu mempererat hubungan rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada kemajuan bersama yang mampan. – KOSMO! ONLINE