SPIELBERG, Austria – Impian Max Verstappen untuk mempertahankan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini dianggap sudah ‘berkubur’ selepas pemandu Red Bull itu terlibat dalam insiden pelanggaran di Grand Prix Austria kelmarin.
Penasihat Red Bull, Helmut Marko, secara terbuka mengakui kegagalan meraih mata di Austria menyebabkan pasukannya itu boleh mengibarkan bendera putih selepas gagal menamatkan perlumbaan di litar sendiri.
“Ini adalah hari yang malang. Jurang mata ini hampir mustahil untuk dikejar. Jika tiada keajaiban berlaku, kami terpaksa akur saingan kejuaraan sudah berakhir,” katanya.
Dalam insiden di Selekoh 3 itu, jentera Verstappen dirempuh dari sisi oleh pelumba Mercedes, Kimi Antonelli menyebabkan kedua-dua mereka tersingkir serta-merta.
Meskipun Antonelli memohon maaf dan dikenakan penalti tiga petak grid pada perlumbaan berikutnya, ia sudah terlambat buat Red Bull yang menyifatkan hari tersebut sebagai hari malang buat pasukannya.
“Max (Verstappen) bermula dengan baik dan cuba mengelak masalah dengan mengambil laluan luar sebelum Selekoh 3. Tiba-tiba Kimi (Antonelli) muncul entah dari mana dan terus merempuh.
“Analisis data menunjukkan Red Bull boleh bersaing untuk podium. Mercedes tidak laju dan jentera Ferrari juga tidak begitu hebat. Cuma McLaren memang di luar jangkauan.
“Tetapi, seperti yang saya katakan, podium sepatutnya milik kami. Ketika permulaan anda boleh ambil risiko, tetapi anda juga kena bersedia jika ada orang di belakang melakukan sesuatu yang bodoh,” kata Marko.
Kegagalan Verstappen meraih sebarang mata di Austria menyebabkan juara dunia empat kali itu kini ketinggalan 61 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri (McLaren). – AGENSI














