TEMERLOH – Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.
Tertuduh, Rosli Sulaiman,47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Menurut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit miliknya kira-kira pukul 6 petang 18 Jun lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit serta komputer riba miliknya pada pukul 4.45 petang, 19 Jun lalu, di sebuah rumah di Kampung Berhala Gantang, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid.
Hakim membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu saksi serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE