fbpx
Pusara Allahyarham Nurly Shahirah tidak putus-putus dikunjungi orang ramai termasuk dari luar Terengganu.

Jangan cemar nama harum Nurly Shahirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kes kemalangan bas persiaran yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada awal pagi 9 Jun lalu meruntun hati rakyat Malaysia.

Biarpun kejadian tersebut sudah tiga minggu berlalu, berita berkaitan mangsa-mangsa nahas yang berasal dari Besut dan Setiu, Terengganu sentiasa mendahului senarai For You di TikTok dan media sosial lain.

Paling mencuri tumpuan adalah kisah mengenai Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23.

Allahyarham Nurly Shahirah yang merupakan anak kepada pasangan Azman Mohamad, 63, dan Kamariah Abdul Latif, 60, hanyalah gadis biasa yang bercita-cita besar mahu menjadi seorang guru Pendidikan Khas sejak kecil lagi.

Namun siapa sangka, sejak hari pertama pemergiannya satu demi satu cerita mengenai kebaikan Allahyarham dikongsikan oleh ahli keluarga dan kenalan rapat.

Allahyarham Nurly Shahirah menghafal 30 juzuk al-Quran dan menjadikan bacaan kitab suci tersebut sebagai amalannya setiap malam.

Malah ketika dijemput Ilahi dalam kemalangan tersebut, naskhah al-Quran masih kemas dalam dakapan arwah.

Sejak pemergiannya, kediaman keluarga Nurly Shahirah dan al-Quran tulis tangan Allahyarham menjadi tumpuan. Dianggarkan lebih 1,000 orang berkunjung ke rumah keluarga arwah sehari.

Mereka datang dari pelbagai arah termasuk luar Terengganu. Tidak keterlaluan saya katakan ini sebagai satu ‘fenomena’. Rata-rata mereka yang datang menziarahi kubur dan keluarga Allahyarham selepas membaca kisah-kisah Nurly Shahirah yang tular di media sosial.

Ada yang sanggup menyewa bas menempuh perjalanan beratus-ratus kilometer untuk berada di pusara anak hebat tersebut.

Itulah ‘aura’ Nurly Shahirah. Namanya harum walaupun jasadnya sudah tiada.

Namun yang tidak enak didengar, ada segelintir tetamu yang melakukan perbuatan mengarut apabila membawa pulang tanah kubur, malah ada juga yang menyapu di muka bagi mendapatkan keberkatan.

Ada yang taasub mencium al-Quran tulisan tangan Allahyarham secara berlebihan. Sudah pasti perbuatan itu menyimpang jauh dengan adab ziarah kubur yang diajar dalam Islam.

Konsep ziarah kini bertukar kepada taasub sedangkan banyak kisah-kisah kebaikan Allahyarham Nurly yang boleh kita jadikan sebagai teladan.

Allahyarham begitu mencintai kalam Allah dan dijadikan ‘peneman’ dalam kehidupan sehariannya. Berusaha dan berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dapat menjadi insan terbaik dan pengakhiran baik seperti Nurly Shahirah.

Tidak lupa ucapan selamat ulang tahun kelima kebangkitan semula akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia yang diterbitkan semula pada 20 Julai 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN