KUALA TERENGGANU – Mayat tiga mangsa tragedi bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, Besut malam tadi akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka masing-masing di Butterworth, Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah untuk disemadikan.
Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu, Dr. K. Balachandran berkata, proses bedah siasat ke atas mayat S. Arumugam, 40; anaknya A. Sarrvihka, 3, serta saudara perempuan mereka, V. Vennpani, 10, selesai di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pukul 2.30 petang tadi.
“Kesemua mangsa terdiri daripada empat keluarga mempunyai pertalian darah yang bercuti ke Pulau Perhentian sejak Jumaat lalu. Semua mangsa terselamat serta waris kepada yang terkorban dalam keadaan trauma.
“Mereka masih terkejut dan sugul. Keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan pencarian dan pengurusan jenazah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni keluarga mangsa di HSNZ hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bot membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik di perairan Pulau Perhentian Besar pada pukul 10.30 malam tadi menyebabkan tiga maut, manakala seorang dilaporkan kritikal sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ. – KOSMO! ONLINE