BRATISLAVA, Slovakia – Pengendali skuad bawah 21 tahun England, Lee Carsley mencabar para pemainnya untuk memburu gelaran kejuaraan hatrik Euro B-21 selepas berjaya mengekalkan kemenangan buat kali kedua berturut-turut.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tehelne Pole awal pagi semalam, skuad muda England itu berjaya membenam cabaran Jerman 3-2 untuk merangkul kemenangan tersebut biarpun terpaksa berdepan cabaran sengit.
England selesa mendahului dengan dua gol menerusi Harvey Elliott dan Omari Hutchinson, namun mereka dikejutkan dengan kebangkitan Jerman menerusi jaringan Nelson Weiper dan Paul Nebel untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Bagaimanapun, Young Lions lebih bertuah apabila Jonathan Rowe yang masuk sebagai pemain gantian berjaya menjadi wira dengan meledak gol kemenangan pasukan itu sekali gus membolehkan England mengulangi pencapaian dua kejuaraan berturut-turut seperti yang dilakukan pada 1982 dan 1984.
Carsley yang diberikan lanjutan kontrak sehingga 2027 sebelum ini turut membantu England menjuarai saingan tersebut pada 2023 ketika menewaskan Sepanyol 1-0 mahu pasukannya mencipta sejarah pada kempen akan datang.
“Saya sangat bangga dengan para pemain. Komitmen yang ditunjukkan sejak 28 hari lalu, semua arahan yang diberikan dituruti dengan baik dan mereka memiliki kepercayaan untuk memenangi saingan.
“Untuk muncul juara dua kali berturut-turut adalah sesuatu yang sangat hebat, tetapi cabaran yang lebih besar adalah untuk mengulanginya pada dua tahun akan datang bagi meraih gelaran hatrik pula,” katanya. – AGENSI