PETALING JAYA– Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa bahasa Melayu perlu terus dimartabatkan bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga sebagai medium penting dalam memupuk perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Menurut beliau, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kini berusia 69 tahun mesti kekal relevan sebagai institusi unggul dalam memperkasa dan mempertahankan bahasa Melayu.
“DBP perlu terus menjadi benteng pemerkasaan bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama mengambil tanggungjawab untuk memelihara bahasa suku kaum, terutamanya bahasa etnik di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun ke-69 DBP yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Fadhlina turut memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa pembinaan peradaban bangsa tidak hanya bersandarkan kemajuan fizikal, tetapi turut merangkumi bahasa, tamadun, seni dan warisan.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman.
“Selamat ulang tahun ke-69 buat DBP. Teruskan peranan menjulang bahasa sebagai jiwa bangsa dan nadi peradaban Malaysia Madani,” kata Fadhlina. -KOSMO! ONLINE.