KUALA LUMPUR – Akuatik Malaysia (MAS) sudah pun memulakan usaha mengenalpasti perenang-perenang yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia bagi mewakili skuad renang kebangsaan pada masa hadapan.
Timbalan Presiden MAS, Marilyn Chua berkata, badan induk sukan renang negara itu sudah pun menghubungi beberapa warganegara Malaysia yang bermastautin di luar dan mendapat respons positif.
Bagaimanapun, beliau yang juga pengerusi bersama skuad renang negara dengan Nurul Huda Abdullah menjelaskan, atlet-atlet warisan itu perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihaknya.
“Sudah tentu (menghubungi beberapa pihak) dan ada beberapa warganegara Malaysia yang menghubungi kami beberapa tahun lepas di mana ia sangat positif. Singapura sudah banyak melakukan perkara itu.
“Mereka mencari bakat-bakat di luar Singapura secara aktif dan itulah antara perkara yang kami bangkitkan dengan pengarah teknikal kami, Megan (Oesting) berada di Amerika Syarikat (AS),” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MAS ke-56 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Sebagai rekod, antara negara yang menjadi sasaran MAS bagi mencari bakat-bakat tersebut termasuk beberapa kuasa besar renang dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand.
Tambah Marilyn, tidak ada jaminan buat perenang-perenang ‘warisan’ untuk menyertai skuad kebangsaan sekiranya mereka gagal mencapai kriteria ditetapkan dalam setiap pertandingan disertai.
“Ada piawaian dan kriteria ditetapkan untuk setiap pertandingan. Sekiranya mereka layak, maka berdasarkan merit mereka akan dipilih. Ia bukannya disebabkan mereka tinggal di luar negara, mereka diterima masuk 100 peratus,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MAS, Andy Low mengekalkan jawatan disandang apabila dilantik semula oleh presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim pada pemilihan yang berlangsung di AGM tersebut. – KOSMO! ONLINE