BIARPUN sudah 12 tahun berlalu, namun Zulkefli Malik atau mesra disapa sebagai Zul masih tidak dapat melupakan pengalaman seram ketika meraikan semester akhir pengajian di universiti.
Cerita Zul, kejadian itu berlaku ketika dia bersama rakan-rakan sekelasnya melakukan aktiviti perkhemahan di satu kawasan air terjun di Kuala Kangsar, Perak.
Zul bersama 10 orang rakannya bersetuju untuk mengadakan perkhemahan bagi meraikan hari akhir mereka sebelum masing-masing membawa haluan hidup sendiri.
“Kami sampai di lokasi hampir tengah hari. Sebelum itu, kami membersihkan tapak khemah dengan membuang daun kering dan ranting.
“Semua seronok sebab air sungai sangat jernih dan ada banyak pokok-pokok tinggi.
“Sebelum itu, ada seorang penjaga kawasan tersebut berpesan kepada kami supaya jangan ambil apa-apa benda yang nampak menarik seperti batu atau daun di hutan.
“Dia juga melarang kami buang sampah, buang air merata atau melastik burung.
“Waktu itu semua sedang seronok, jadi ada yang tidak ambil peduli dengan nasihat penjaga kawasan itu.
“Sementara itu, ada juga yang sibuk masak makanan untuk tengah hari,” katanya kepada CitaRasa.
Ketika semua sedang sibuk, Zul ternampak Azim (bukan nama sebenar) sedang berjalan-jalan di kawasan sungai secara sendirian dan jauh dari rakan-rakan yang lain.
Zul dapati Azim berada di kawasan hutan berhampiran. Disebabkan itu, Zul terus memanggil rakannya itu kerana bimbang tersesat.
“Selepas makan malam, kami berkumpul mengelilingi unggun api sambil bercerita dan menyanyi.
“Ketika itu, baru kami sedar bahawa Azim tiada bersama kami.
“Kami terus mencari Azim di kawasan sekeliling. Salah seorang daripada kami ternampak Azim sedang duduk kaku di atas batu berhampiran sungai sambil memandang ke dalam hutan yang gelap.
“Kami terus cepat-cepat bawa Azim ke khemah. Ketika di dalam khemah, badan Azim tiba-tiba mengejang, dan mula menjerit dengan suara garau sambil meronta-ronta,” katanya.
Situasi cemas itu membuatkan pelajar perempuan ketakutan dan ada yang mula menangis.
Mujur ketika kejadian itu ada seorang ustaz muda turut mengadakan perkhemahan di kawasan berhampiran datang membantu Zul dan rakan-rakannya.
“Waktu Ustaz Kamal membaca ayat al-Quran, perlahan-lahan Azim menjadi tenang. Ustaz ada nasihat kami supaya bergilir-gilir berjaga malam bersama sehingga subuh kerana bimbang perkara buruk berlaku,” ujarnya.
Seperti dijangka, Azim yang sebelumnya tidur di dalam khemah didapati telah hilang menjelang subuh.
Disebabkan itu, Zul dan rakan-rakannya terpaksa menghabiskan masa hampir sejam untuk mencari Azim. Dia kemudian ditemui duduk di batu yang sama pada hari sebelumnya.
“Selepas ditemui, Ustaz Kamal terus membaca ayat al-Quran kepada Azim, sebelum dia menangis dan menampar-nampar wajahnya berulang kali.
“Setelah sedar, Ustaz Kamal bertanyakan kepada Azim sama ada dia mengambil apa-apa objek di situ.
“Azim pun menunjukkan sebiji batu bersinar berwarna kebiruan yang dikeluarkan dari dalam begnya,” katanya.
Ustaz Kamal menasihati Azim supaya mengembalikan semula batu itu pada kedudukan asal dan segera pulang.
“Menurut Ustaz Kamal, batu tersebut ada ‘tuannya’ dan ia diambil dari alam bunian. Entah macam mana Azim boleh mengambil batu bersinar itu sehingga dia diganggu oleh makhluk halus.
“Kejadian itu membuat saya sentiasa berjaga-jaga ketika melakukan aktiviti di kawasan hutan kerana takut perkara sama berulang lagi,” ujarnya.
















