fbpx
MUHAMAD SYAHMI (kanan) berazam untuk mengubah hidup keluarganya selepas impian belajar di IPG bakal tercapai ketika ditemui di Sik semalam.

‘Terima kasih menteri, saya mahu keluarga hidup lebih sempurna’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIK – “Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang lebih cemerlang dan sedia berkhidmat untuk masyarakat di sam­ping membela nasib ayah, ibu serta adik-adik agar hidup mereka lebih sempurna dan baik seperti orang lain.”

Demikian azam Muhamad Syahmi Azril SaidiJamal, 18, selepas nasibnya yang disiarkan di akhbar Kosmo! semalam mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dia mengakui terharu dan gembira bergampur-baur selain terkejut selepas impiannya untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam hampir tercapai selepas Fadhlina tampil untuk membantu.

“Alhamdulillah, saya, bapa, SaidiJamal Abu Said, 43, dan ibu, Nor Azlinda Ahmad, 38, sungguh terharu dan terkejut dengan berita baik yang tidak disangka-sangka ini.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada menteri yang sentiasa mengambil berat tentang masalah pelajar miskin seperti saya dan membantu saya me­nyambung pelajaran bagi mencapai cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran dan hidup,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, impiannya yang kabur semalam lantaran kesusahan hidup berubah sekelip mata.

Selain itu, remaja itu juga mendapat bantuan zakat daripada Petronas sebanyak RM250 setahun dan bayarannya dijelaskan sekali gus untuk lima tahun pengajian, manakala Kelab Anak-Anak Sik akan menyumbangkan sebuah komputer riba untuk kegunaannya di kampus.

“Dengan bantuan ini saya menjadi lebih bersemangat dan berkobar-kobar untuk sambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sememangnya menjadi guru adalah cita-cita sejak dari kecil.

“Saya tidak kisah menjadi guru untuk mata pelajaran apa sekali pun, asalkan saya menjadi guru, tetapi jika diberi pilihan saya lebih memilih guru Bahasa Melayu,” ujarnya.

Terdahulu, Fadhlina mengarahkan pasukannya untuk berhubung segera dengan keluarga seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi membantu melanjutkan pelajaran di IPG Kampus Tuanku Bainun.

Fadhlina berkata, pihaknya akan menguruskan keperluan pelajar tersebut untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di institut itu.

“Terima kasih kepada semua yang memaklumkan kepada saya tentang berita ini. Alhamdulillah, pasukan saya sedang berhubung dengan keluarga untuk menguruskan anakanda ini meneruskan pengajiaannya ke IPG.

“Anggap sahaja selesai dan mari kita sama-sama mendoakan kejayaan anak ini dalam pengajiannya kelak. Inilah semangat hijrah yang kita mahukan!” katanya melalui Facebook semalam.

Bapa remaja itu, SaidiJamal Abu Said, 43, hanya seorang penoreh getah dan perlu menanggung dua lagi adik yang masih bersekolah, manakala ibunya Nor Azlinda Ahmad, 38, pula tidak bekerja dan mengidap penyakit kanser payudara tahap empat sejak lebih setahun lalu serta perlukan perhatian yang rapi dan belanja perubatan yang banyak.

Dalam peperiksaan SPM yang lalu, Muhamad Syahmi Azril memperolehi keputusan 5A dan 4B membolehkan hasrat bergelar pendidik semakin hampir. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN