BATU PAHAT – Dua lelaki yang dilaporkan melakukan kegiatan pecah rumah seorang penduduk di Taman Soga Sutera, di sini berjaya ditahan Bandar Hilir, Melaka setelah dikesan dalam tempoh hanya kira-kira 11 jam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek berusia 36 dan 50 tahun itu dilaporkan melakukan kegiatan pecah pada pukul 6 pagi 22 Jun lalu.
Katanya, suspek melarikan barangan berharga dan sebuah kereta dianggarkan nilai keseluruhan RM65,000.
“Susulan laporan diterima, satu pasukan khas dilancarkan dan suspek telah dikesan berada di Peserai Batu Pahat sebelum ditahan di Bandar Hilir Kira-kira pukul 5 petang hari sama. Hasil penahanan ke atas suspek, polis berjaya merampas barangan berharga serta kereta pengadu yang dilaporkan hilang, pakaian, peralatan serta sebuah kereta dipercayai dicuri untuk melakukan kegiatan pecah rumah.
“Turut dirampas adalah dadah dipercayai heroin seberat 27.28 gram bernilai RM682 dan syabu (4.26 gram) anggaran harga RM468,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif syabu dan masing-masing mempunyai 29 dan 30 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Ujarnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B, 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE