PETALING JAYA – Taktik ‘scammer’ semakin licik apabila menggunakan pelbagai tipu helah untuk memperdayakan orang ramai.
Baru-baru ini tular di media sosial apabila ‘scammer’ bertindak menyamar sebagai penghantar barang kurier.
Menerusi hantaran Facebook Yaya Jebat, modus operandi yang digunakan adalah dengan menghantar nombor jejak barang menerusi WhatsApp mangsa.
Kemudian, ‘scammer’ tersebut akan meminta mangsa memindahkan sejumlah wang tanpa menghantar barang terlebih dahulu.
“Aku jarang beli barang atas talian, kalau beli apa aku akan ‘alert’ harga berapa yang aku beli. Awal-awal ayat dia dah buat aku curiga sebab tak ada nama akaun dalam mesej yang dia hantar.
“Tak pernah lagi kurier minta pindah awal sebelum barang terima. Selalu dah sampai rumah kalau pembeli tak ada baru dia akan ambil gambar bukti barang. Sah scammer, sebab dia tak balas dah lepas aku cakap nak bayar tunai,” tulisnya.
Hantaran tersebut mendapat lebih 389 tanda suka dan 200 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ada juga beberapa pengguna berkongsi pengalaman yang sama menerima mesej sebegitu daripada nombor tidak dikenali.
“Dapat mesej yang sama macam dalam gambar. Kita memang tahu sebab ingat beli barang apa. Tahu dah memang scammer,” kata Athira.
“Saya dah dapat mesej macam tu. Bila minta gambar bukti barang dan alamat yang dia hantar terus diam,” komen Sya.
“Nombor yang sama ni yang mesej saya juga. Memang sah scammer. Ayat semua sama. Bila tanya terus tak balas,” komen Haizura. – KOSMO! ONLINE