SEPANG – Tiga suspek kes bunuh membabitkan seorang pelajar universiti swasta di Cyberjaya, Selasa lalu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Azaraorni Abdul Rahman di Mahkamah Sesyen, di sini pagi ini.
Azaraorni membenarkan permohonan reman bagi ketiga-tiga suspek bermula hari ini hingga 3 Julai ini.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek di bawa oleh polis dalam keadaan tangan bergari ke Kompleks Mahkamah Sepang, di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Ketiga-tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki kelihatan tenang dan tunduk ketika di bawa masuk ke dalam mahkamah untuk permohonan reman.
Mereka kemudian di bawa keluar oleh anggota polis meninggalkan kompleks mahkamah kira-kira pukul 9.40 pagi dipercayai untuk di bawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Selasa lalu, mangsa seorang wanita berusia 20 tahun ditemui maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan kira-kira jam 10 pagi dengan kesan cedera di kepala. – KOSMO! ONLINE