IPOH – Qariah negara, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman dipilih menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1447 Hijrah.
Sharifah Khasif, 43, yang juga Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa dan Qariah Terbaik Keseluruhan 2009 itu menerima anugerah tersebut yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Anugerah tersebut membolehkan personaliti agama itu menerima wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil yang disampaikan baginda.
Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Allahyarham Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor yang merupakan ibu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Penganugerahan itu membolehkan penerima menerima wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil.
Selain itu, beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Saidina Ali kepada (Muhammad Firdaus Mohamad Suki), Anugerah Siti Khadijah (Dr Robiah Kulop Hamzah) dan Ikon Asnaf (Norzita Hamid).
Anugerah Al-Quba Pengurusan Masjid Terbaik pula diterima Masjid Nurussalam, Batu 4, Jalan Kuala Rui, Gerik manakala Anugerah Al-Baqi Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik pula disampaikan kepada Tanah Perkuburan Masjid Asy-Syakirin, Parit Buntar.
Anugerah tersebut membolehkan lima penerima menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, sijil dan plak.
Pada majlis sama, hafizah al-Quran, Rafaa Ahmad Muneer dari Alor Pongsu, Bagan Serai pula menerima Anugerah Khas dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, komputer riba sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), plak dan sijil. – KOSMO! ONLINE